Dimensi Antarabangsa/Global/Serantau
Malaysia sentiasa prihatin terhadap warga dunia yang ditimpa bencana. Pelbagai bentuk bantuan telah dihulurkan untuk meringankan penderitaan mangsa.
Pada pendapat anda, mengapakah kerajaan dan rakyat Malaysia perlu membantu mangsa-mangsa bencana tersebut.
Mayat bergelimpangan. Bangkai bertaburan. Harta benda musnah. Anak kebuluran. Demikianlah senario gara-gara bencana alam. Kehidupan nescaya akan menjadi sukar untuk mangsa-mangsa bencana alam seperti ribut, banjir, gempa bumi, tsunami, kemarau, dan sebagainya. Siapakah yang dapat membantu mereka? Malaysia boleh. Kita boleh menyumbangkan khidmat bantuan kebajikan dan kemanusiaan kepada mangsa malapetaka alam. Kita boleh memberikan maklumat dan menawarkan bantuan kepakaran dan teknikal dalam usaha membangunkan kawasan yang terbabit. Kita boleh melancarkan tabung kebajikan mangsa bencana di peringkat kebangsaan. Persoalannnya, mengapakah Malaysia perlu membantu mangsa-mangsa bencana tersebut?
Inisiatif kerajaan dan rakyat Malaysia yang sanggup menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam dunia dapat menjalin tali silaturahim dan ukhuwah dengan negara-negara yang terbabit. Apabila kita menyumbangkan apa-apa jua bantuan kepada negara yang dilanda musibah alam, sudah tentu tali persaudaraan dengan rakyat dan negara yang terbabit dapat dipererat. Ketika tsunami besar melanda negara-negara serantau pada tahun 2004, misalnya, Mercy Malaysia yang merupakan sebuah pertubuhan bantuan perubatan sukarela telah menghulurkan bantuan perubatan kepada mangsa-mangsa bencana alam. Bantuan perubatan amat diperlukan dan dihargai kerana mangsa-mangsa bencana bukan sahaja mengalami kecederaan parah bahkan menghidap penyakit berjangkit. Bantuan berupa ini bukan setakat dapat meringankan penderitaan mereka malah tali ukhuwah terjalin dengan negara-negara yang terbabit, bak kata pepatah cubit paha kanan, paha kiri pun merasa juga.
Sebagai umat manusia yang berprihatin dan bertimbang rasa, sudah menjadi lumrah manusia untuk menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan pertolongan, terutamanya mangsa-mangsa bencana. Mungkin hari ini jiran kita, Indonesia, dilanda bencana alam letusan gunung berapi dan tsunami, mungkin esok Filipina dilanda ribut taufan, dan mungkin lusa kita pula ditimpa bencana tanah runtuh. Dengan erti kata lain, apabila kita senang dan makmur, kita tidak harus berpeluk tubuk menyaksikan kesengsaraan jiran-jiran kita keranamalang tidak berbau dan kemalangan tidak mengenal mangsanya Seelok-eloknya, kita menyumbangkan apa-apa juga bantuan baik kewangan, makanan, perubatan mahupun teknikal kepada mana-mana negara yang dilanda musibah alam. Pendek kata, kejadian bencana alam mengundang keprihatinan rakyat Malaysia untuk menghulurkan bantuan. Tanpa mengira sempadan budaya, kaum, agama, mahupun negara, kita perlu menghulurkan tangan membantu mereka yang memerlukan pertolongan.
Bahkan, keterlibatan dalam penyumbangan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alamdapat meningkatkan imej kita sebagai negara yang makmur di persada antarabangsa. Kita berbangga dengan kemantapan siasah dan kemapanan iktisad yang sedang kita kecap. Kita mendabik dada dengan ahli sukan kita, terutamanya Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David. Kita juga harus bermegah dengan kemampuan kita dalam usaha membantu rakan-rakan kita yang dilanda bencana alam di seantero dunia. Seandainya kita mampu menghulurkan bantuan kewangan, rawatan perubatan, ubat-ubatan, makanan, teknikal, kejuruteraan, dan sebagainya, sesungguhnya kita sudah berjaya dan maju dalam segala aspek kehidupan. Dengan kemampuan dan keprihatinan ini, kita dapat meraih keyakinan dan kehormatan bangsa-bangsa maju di empat pojok dunia. Dengan ini, rakyat asing tidak akan teragak-agak untuk melabur di negara kita kerana mereka akan berasa selamat dan bahagia di Bumi Malaysia. Kesannya, kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.
Sebagai intiha, sumbangan kepada mangsa-mangsa malapetaka alam tanpa mengira bangsa dan negara mencerminkan bahawa rakyat Malaysia berperikemanusiaan. Tidak kira negara yang ditimpa bencana alam itu kaya ataupun miskin, maju ataupun mundur, kawan atau musuh, jiran ataupun sahabat, kita patut menghulurkan tangan memberikan apa-apa jua bantuan agar kesengsaraan dan keazaban mangsa-mangsa bencana dapat dikurangkan. Kita memang mengharapkan kemakmuran dan kebahagiaan di dunia ini tetapi bencana alam adalah di luar kuasa manusia. Jadi, seandainya ditimpa apa-apa jua musibah, eloklah kita menyumbangkan bantuan sekadar yang dapat kerana berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Dalam menghadapi bencana alam, kita bersama-sama mengorak langkah mengurangkan impak musibah alam dan berganding bahu meredakan penderitaan mangsa-mangsa bencana. Dengan adanya perasaan kemanusiaan dalam kalangan manusia, kita dapat hidup bahagia dan harmoni di dunia ini.
*by Adila*
*by Adila*
No comments:
Post a Comment