Wednesday, 27 April 2011

# 45Ulama, cendekiawan Islam kuat membaca, cinta ilmu pengetahuan




AHLI falsafah Inggeris, Lord Bacon, berkata membaca menjadikan seseorang itu berisi. Membaca ialah aktiviti yang boleh membangunkan intelektual, membentuk pemikiran kreatif dan dinamis serta melahirkan masyarakat progresif dan berdaya saing.


Dalam keinginan kita menjadi negara maju menjelang 2020, pemikiran bernas dan matang yang diperoleh hasil pembacaan penting ke arah pembangunan yang pesat. Masyarakat maju dapat menguasai pelbagai bidang ilmu terdiri daripada masyarakat yang suka membaca.

Contohnya, masyarakat Jepun walaupun sibuk dengan urusan harian, masih sempat membaca walaupun di mana mereka berada. Mereka terlalu cinta akan amalan membaca. Justeru, fikiran mereka turut dimatangkan melalui proses pembacaan.
Dalam penghayatan sejarah Islam, pernah dilaporkan sikap orang Arab ketika berbicara mengenai buku. Mereka menganggap amalan membaca seumpama sedang berbicara mengenai seorang yang amat setia dan jujur atau seorang pemimpin yang membimbingnya ke jalan kebenaran.


Selain itu, ada juga ulama menganggap membaca seumpama sedang bercakap-cakap dengan sekumpulan ulama dan orang pintar. Ulama Islam, al-Jahiz, yang mempunyai komitmen tinggi terhadap ilmu dan pembacaan, mati akibat tertindih oleh buku yang disimpan di sekelilingnya.



Berdasarkan kisah ulama zaman silam ini, mereka menjadikan buku sebagai teman. Jelaslah ulama dan cendekiawan Islam menunjukkan komitmen tinggi terhadap amalan membaca dan kecintaan kepada ilmu pengetahuan.



Masyarakat yang membaca dan berlumba-lumba menguasai ilmu adalah masyarakat yang dapat menyesuaikan dirinya dengan tujuan asal ia diciptakan Allah.



Sebenarnya, minat dan tabiat membaca boleh dipupuk dalamkalangan masyarakat. Namun, untuk mewujudkan sebuah negara yangrakyat nya menjadikan membaca sebagai amalan dalam hidup mereka bukanlah suatu perkara mudah.



Ia membabitkan kesedaran mendalam rakyat sendiri. Walau apa pun cara dilaksanakan, kerajaan mahu menyedarkan rakyat tentangkepentingan membaca tetapi jika rakyat tidak mengendahkannya, segala usaha kerajaan bagaikan mencurah air ke daun keladi.



Antara cara paling baik untuk memupuk budaya membaca ialah melalui usaha melatih dan membimbing kanak-kanak minat membaca. Golongan inilah yang bakal menerajui pemerintahan dan pentadbiran negara pada masa akan datang.



Melalui amalan suka membaca yang dimulakan sejak kanak-kanak lagi, tentulah banyak ilmu pengetahuan bakal diperoleh. Sehubungan itu, ibu bapa, guru, ulama, penulis, pustakawan dan media massa seharusnya memberi komitmen dan menggembleng tenaga dalam usaha ini.



Hanya komitmen yang bersungguh-sungguh dan padu dapat menyemarakkan budaya membaca dalam masyarakat.



Ayat pertama surah al-Alaq diwahyukan Allah kepada Nabi MuhammadSAW dimulai dengan perintah ‘membaca’. Dengan melaksanakan perintah ini membolehkan umat manusia mencapai kedudukan kemanusiaannya pada tahap yang sempurna.



Setiap Muslim seharusnya menyahut dan melaksanakan perintah ini. Umat Islam tidak mungkin dapat mencapai kemajuan di dunia dan di akhirat, jika mengabaikannya. Kita juga seharusnya melihat kembali zaman kegemilangan tamadun Islam yang diwarnai sikap cintakan ilmu pengetahuan.

*by Adila*

No comments:

Post a Comment